Sunday 1 February 2009

kesan2 marah

Kesan-kesan Marah Dalam Tindakan Orang Marah.

Kebanyakan ulama Fiqh berpendapat bahawa orang yang marah dipertanggungjawabkan segala perbuatannya semasa dia marah, dan diambil kira apa-apa saja perbuatan yang lahir daripadanya, seperti perbuatan yang menyebabkannya menjadi kafir, membunuh orang, mengambil harta orang lain tanpa hak, talak dan sebagainya. Mereka berhujjah dengan bersandarkan kepada beberapa dalil, di antaranya:

Hadith Khaulah binti Tha‘labah, isteri kepada Aus bin Ash-Shamit ada menyebutkan: “Suaminya telah marah lalu dia menzhiharkannya, maka dia (Khaulah) pun pergi berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam lalu memberitahu kepada Baginda perkara itu dan berkata:

“Dia tidak bermaksud untuk menthalaqku”.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Aku tidak tahu melainkan engkau sebenarnya telah menjadi haram ke atasnya”.

Di dalam hadith ini Allah telah menjadikan thalaq sebagai zhihar, dan thalaq itu jatuh walaupun diucapkan dalam keadaan marah. Akan tetapi jika seseorang itu marah sehingga dia pitam maka tidak berlaku thalaq kerana hilang akalnya. Dalam keadaan ini dia menyerupai orang gila yang mana tidak jatuh thalaq yang lahir dari seorang gila.

Oleh yang demikian, sekiranya seorang manusia yang berada dalam keadaan marah merosakkan sesuatu yang berharga kepunyaan orang lain, maka harta tersebut berada di bawah jaminannya dan dia hendaklah membayar ganti rugi hasil daripada perbuatannya itu. Lain-lain contoh di antaranya:

· Sekiranya dia membunuh seseorang dengan sengaja, maka dia dikenakan qishash.

· Sekiranya dia melafadzkan lafadz kekufuran, maka dia dihukum murtad sehinggalah dia bertaubat.

· Sekiranya dia bersumpah untuk melakukan sesuatu, maka sumpahnya mestilah dilaksanakan (sah sumpahnya).

· Sekiranya dia menthalaq isterinya, maka jatuh thalaqnya itu.

Menahan Diri Daripada Marah.

Seorang ulama fiqh, Nur bin Muhammad berkata: Seorang muslim hendaklah bersifat lemah lembut dan sabar kerana ia adalah salah satu sifat orang-orang bertaqwa. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memuji orang-orang yang bersifat lemah lembut dengan firmanNya yang tafsirnya :

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)”.

(Surah Asy-Syura: 43)

Ayat ini memberi maksud bahawa orang-orang yang sabar di atas kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan dia memaafkan orang yang menzaliminya itu akan mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala juga telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya bersifat sabar dan lemah lembut dan Allah mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi-nabi yang terdahulu sebelum Baginda adalah orang-orang yang memiliki sifat demikian. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman yang tafsirnya :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul (Ulul-Azmi) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”.

(Surah al-Ahqaaf: 35)

Dalam ayat ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memerintahkan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam supaya bersifat sabar di atas pembohongan orang-orang kafir dan di atas penyiksaan mereka sebagaimana bersabarnya para nabi sebelum Baginda.

Sementara itu ada hadith-hadith Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan tentang kelebihan orang-orang yang dapat menahan kemarahannya, di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)

Di dalam hadith yang lain ada menyebutkan yang maksudnya :

Sesungguhnya seorang lelaki telah berkata kepada nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Berpesanlah kepadaku”. Nabi bersabda: “Jangan marah!”. Kemudian orang tadi mengulangi lagi, lalu Baginda menjawab: “Jangan marah!”.

(Hadith riwayat Al-Bukhari)

Wahab bin Munabbih menceritakan bahawa syaitan mahu menyesatkan seorang ahli ibadat Bani Israel, akan tetapi syaitan itu tidak berjaya. Pada satu hari ahli ibadat ini keluar dari rumahnya kerana sesuatu keperluan. Lalu syaitan pun keluar bersamanya agar dia dapat peluang untuk menyesatkannya. Syaitan berusaha menyesatkannya dalam bentuk godaan syahwat dengan cara membuatnya marah, tetapi tidak berjaya lalu dia mencuba lagi dengan cara menakut-nakutkannya iaitu dengan menggugurkan batu dari bukit. Apabila batu itu hampir mengenai ahli ibadat itu, dia pun berzikir mengingati Allah, lalu batu itu pun menyingkir daripadanya. Kemudian syaitan menjelma menjadi singa, lalu ahli ibadat itu berzikir mengingati Allah dan dia tidak takut kepada binatang buas itu. Kemudian syaitan menjelma pula menjadi ular ketika ahli ibadat itu sedang sembahyang. Ular itu melilit kaki dan badannya sehingga ke kepalanya. Apabila ahli ibadat itu hendak sujud, ular itu berlingkar di mukanya dan apabila dia hendak meletakkan kepalanya untuk sujud, ular itu membuka mulutnya untuk menelan kepalanya. Lalu ahli ibadat itu pun miring ke tempat lain untuk membolehkannya sujud. Apabila ahli ibadat itu selesai sembahyang dan beredar dari tempatnya, maka syaitan menemuinya dan berkata:

“Aku telah melakukan itu dan ini tapi aku tidak berjaya memperdayakanmu, maka mulai sekarang aku mahu menjadi sahabatmu dan aku tidak akan menyesatkanmu”.

Maka ahli ibadat pun menjawab:

“Sebagaimana aku tidak mahu bersahabat denganmu semasa engkau menakut-nakutkan aku, begitu jugalah hari ini aku tidak ingin bersahabat denganmu”.

Lalu syaitan pun berkata:

“Tidakkah engkau mahu bertanya kepadaku tentang keadaan ahli keluargamu sesudahmu?”.

Ahli ibadat menjawab:

“Aku telah mati sebelum mereka”.

Kemudian syaitan berkata:

“Tidakkah engkau mahu bertanya padaku tentang bagaimana cara aku menyesatkan anak-anak Adam?”.

Ahli ibadat menjawab:

“Ya, khabarkanlah tentang cara bagaimana engkau menyesatkan anak-anak Adam”.

Syaitan berkata:

“Dengan tiga perkara: Bakhil, marah dan mabuk.

· Sesungguhnya seseorang manusia itu jika bakhil, aku sedikitkan hartanya pada pandangan matanya, maka dengan cara ini akan menahannya dari mengeluarkan hak-hak yang wajib dikeluarkannya dan menjadikannya suka kepada harta orang lain.

· Jika seseorang itu marah, kami akan memutar-mutarkannya di antara sesama kami sebagaimana seorang kanak-kanak memutar-mutarkan bola di antara sesama mereka. Meskipun dia boleh menghidupkan orang mati dengan doanya nescaya kami tidak akan berputus asa daripada menggodanya, sesungguhnya dia dibangunkan dan dihancurkan dengan satu perkataan sahaja.

· Jika dia mabuk kami akan memimpinnya kepada semua kejahatan seperti mana dipimpin seekor kambing melalui telinganya menurut sesuka hati kami.

Hasil daripada cerita ini, syaitan telah memberitahu ahli ibadat itu bahawa orang yang marah sesungguhnya dia berada di tangan syaitan seperti bola berada di tangan kanak-kanak. Jadi syaitan dengan sewenang-wenangnya dapat mempermain-mainkan orang yang sedang marah tadi. Maka disarankanlah pada orang-orang yang marah supaya agar bersabar supaya dia tidak menjadi tawanan syaitan dan supaya tidak hangus amalannya.

Diriwayatkan juga bahawa iblis telah menjumpai Nabi Musa ‘alaihissalam lalu dia berkata:

“Engkau telah dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhanmu dan Dia telah bercakap-cakap denganmu, sesungguhnya aku adalah salah satu daripada makhlukNya, aku mahu bertaubat kepada Tuhanmu, maka engkau mohonlah kepadaNya supaya Dia mengampunkanku”.

Nabi Musa pun gembira apabila mendengar permintaan iblis itu, lalu dia pun meminta air kemudian berwudhu dan seterusnya bersembahyang. Kemudian dia berkata:

“Sesungguhnya iblis salah satu daripada makhlukMu memohon keampunan daripadaMu, maka ampunkanlah dia”.

Lalu Allah berfirman kepada nabi Musa:

“Wahai Musa sesungguhnya dia tidak bertaubat”.

Kemudian nabi Musa berkata:

“Wahai Tuhanku memang benar dia mahu bertaubat”.

Maka Allah pun menurunkan wahyu kepada nabi Musa:

“Sesungguhnya Aku mendengar permohonanmu wahai Musa, suruhlah dia (iblis) bersujud di kubur nabi Adam, nescaya aku akan mengampunkannya”.

Maka nabi Musa pun balik dengan gembira dan memberitahu kepada iblis perkara itu. Iblis menjadi marah dan sombong lalu berkata:

“Aku tidak sekali-kali sujud kepadanya semasa dia hidup, adakah patut aku sujud sesudah dia mati! Wahai Musa sesungguhnya engkau mempunyai hak ke atasku dengan pertolongan yang engkau berikan kepadaku, maka aku wasiatkan kepadamu dengan tiga perkara:

“Ingatlah aku ketika melakukan tiga perkara:

· Ingatlah aku ketika engkau marah, sesungguhnya aku berada di dalam hatimu mengikut mengalirnya darah di pembuluh darah

· dan ingatlah aku ketika menemui musuh di dalam pertempuran, sesungguhnya aku ketika seseorang itu menemui musuh, aku akan mengingatkannya kepada isteri, keluarga, harta dan anaknya sehingga dia berpatah balik dari pertempuran

· dan jauhilah dari mendampingi perempuan yang bukan mahram, kerana sesungguhnya aku adalah utusannya kepadamu dan utusanmu kepadanya”.

Adalah diriwayatkan juga daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa: “Apabila pecah gigi depan Baginda semasa perang Uhud, sahabat merasa geram dan kesal dengan keadaan Baginda itu lalu mereka berkata:

“Wahai Rasulullah, jika engkau memohon kepada Allah untuk membalas mereka dan dengan apa yang mereka lakukan ke atasmu, bagaimana pendapatmu?”.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya aku tidak diutus untuk menjadi seorang pelaknat, tetapi aku diutus sebagai seorang pendakwah dan pembawa rahmat. Wahai Tuhanku, berikanlah hidayatMu kepada kaumku, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tidak mengetahui”.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menahan lidahnya dari menjatuhkan maruah orang-orang Islam, nescaya Allah akan membatalkan kejatuhannya pada hari kiamat, dan sesiapa yang menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menghentikan kemurkaanNya kepadanya pada hari kiamat”.


No comments:

Post a Comment